Sejarah Sekolah

Penubuhan..

Sekolah ini telah ditubuhkan pada 1950 dengan nama Government English School (G.E.S.) dalam masa penjajahan British lagi. Sekolah inilah satu-satunya sekolah yang mendapat tempat di kalangan masyarakat Labuan sebagai sebuah sekolah yang baik dan maju pencapaiannya. Bangunan asal hanya mempunyai tujuh buah bilik darjah. Pada peringkat permulaan penubuhan sekolah ini, ia hanya mampu memberikan pendidikan rendah sahaja. Bahasa pengantar adalah sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Perkembangan sekolah semakin maju hingga ia mampu mengadakan pengajaran. Pada masa itu, Guru Besar juga memainkan peranan sebagai Pengetua serta mentadbir sekolah menengah dan rendah sekaligus sehingga zaman merdeka 1963.




Kemajuan dari segi fizikalnya turut berubah. Penambahan bilik darjah yang berselerak di sekitar bangunan asal adalah bertujuan untuk menampung keperluan pelajar-pelajar sekolah menengah sebanyak 15 buah bilik darjah. Apabila Dasar Pelajaran Kebangsaan telah dilancarkan, sekolah ini turut mengalami perubahan. Bahasa Malaysia dijadikan pengantar secara berperingkat-peringkat menggantikan Bahasa Inggeris. Kemudiannya, sekolah ini telah ditukarkan namanya menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Dua. Pentadbirannya diasingkan daripada sekolah menengah, tetapi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masih tetap satu. Bangunan fizikal sekolah rendah hanya tujuh bilik darjah dan pada tahun 1988 ditambah 3 buah bilik darjah lagi di bawah Pembangunan Rancangan Kilat. Pada Bulan Jun 2002, Sekolah Kebangsaan Pekan Dua telah berpindah ke bangunan baru bekas tapak padang bola berhampiran dengan tapak sekolah lama. Kini Sekolah Kebangsaan Pekan Dua mampu menampung seramai 900 orang pelajar dengan 44 orang tenaga pengajar. Bangunan sekolah baru ini dilengkapi dengan 28 buah kelas, makmal sains, bilik muzik, bilik pendidikan seni, kelas pemulihan, pusat sumber, surau, kantin, bilik pergigian, bilik kesihatan dan bilik kaunseling. Secara keseluruhannya, bangunan sekolah yang baru ini mampu meningkatkan kualiti pendidikan.

No comments :